Showing posts with label Peringatan Diri. Show all posts
Showing posts with label Peringatan Diri. Show all posts

Friday, November 15, 2013

Doa Pendinding Daripada Bahaya, Kemudaratan Makanan, Syihir & Makhluk Halus


     Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Keberuntungan beramal dengan doa ini
1. Terhindar Daripada Bahaya
      Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;
  • Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.
  • Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.
    Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.
2. Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan
     Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.
3. Terhindar Daripada Sihir
    Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.
    Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.
    Ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.
3. Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus
     Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.
     Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.
     Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Thursday, October 24, 2013

Tip Untuk Ibu Bapa


1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak, kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat - إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ. - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU kami memohon pertolongan..".
mintalah apa2 hajat pd masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.


2. Pandang wajahnya semasa dia tidur. Ucapkan bahawa, ibu nak ........(nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. 
Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.


3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya kita solat dalam bilik dia dan dekat dengan dia. Jika kita selalu buat dan kita juga selalu beritahu dia yang kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh.Dia akan tahu kita selalu solat hajat untuknya.


4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita sedang menunggu panggilan Allah. Jika dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.


5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.


6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita.Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.


7. Jaga tutur kata kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat2 cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita, Kita marah kerana dia buat salah,bukan bermaksud membenci.Ceritalah buat macam drama pun boleh .


8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya kita,anak dan zuriat keturunan kita termasuk dalam golongan orang2 yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]


9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia.Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Kalau Allah tak sayang, manusia pasti tak akan suka.


10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku (sebut nama mereka).....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibu bapanya juga ke neraka] sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S.A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.
 


Monday, September 23, 2013

Doa Kebahagiaan Rumahtangga & Keturunan


    Amalkan baca surah Al-Baqarah ayat 102 setiap kali selepas solat fardhu supaya kita dijauhi dari sebarang perbuatan dengki khianat makhluk .Kita haruslah meyakini bahawa kuasa Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi dan bahawa interaksi dengan Ayat-Ayat Allah (Al-Quran) itu sebesar-besar penawar;

2:102
Al-Baqarah : 102

[102]
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.



25:74
Al-Furqan :74
[74]
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata ; “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”.


43:21
Az-Zukhruf : 21
[21]
Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada kitab itu?


7:21
Al-A'raf : 21

[21]
Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua”.



6:61
Al-An'am : 61

[61]
Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).


11:57
Hud : 57

[57]
Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu.”

Sunday, September 22, 2013

Doa Penghapus Syihir

    Orang-orang yang beriman dengan Allah mempunyai banyak kelebihan di dalam menghadapi sihir. Pertamanya mereka mempunyai tempat pergantungan dan tempat berlindung yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa iaitu Allah “Azza Wajalla. Imam Ibnu Qaiyim telah berkata, “Ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit sihir ialah Al Adahihiyah Al Ailahiyah (penawar Ketuhanan) iaitu dengan banyak berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa.

    Seseorang yang beriman itu menganggap bahawa sihir yang menimpanya sebagai satu ujian dari Allah. Sekiranya ia melalui ujian ini dengan cara yang betul sepertimana yang dikehendaki oleh Allah maka Insya Allah bertambahlah imannya.


Surah Al-A'raf [117-122]
7:117
7:118
7:119
7:120
7:120
7:121


[117]
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
[118]
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]
Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
[121]
Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.


Surah Yunus [81 & 82]
10:81
10:82


[81]
Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[82]
“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.



Surah Ta-Ha [69]
20:69
[69]
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.



Tuesday, August 27, 2013

Al Quran & Sunnah


Sesungguhnya kenikmatan yang paling besar, paling sempurna dan kekal abadi yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia ialah petunjuk kepada Islam. Namun nikmat ini tidak akan sempurna sekiranya kehidupan seseorang tidak berpandukan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. 

Oleh itu mereka yang terselamat di dunia dan di akhirat ialah orang-orang yang mengambil kedua-dua sumber ini sebagai pedoman hidup. Hanya dengan berpandukan Al Quran dan sunnah maka hidup seseorang menjadi damai, harmoni dan bertanggungjawab. 

Allah swt telah memberikan dua sumber yang mana termaktub segala hukum dan ajaran Islam yang berkaitan dengan akidah, konsep, ibadah, akhlak dan pelbagai ilmu lain yang sangat penting bagi manusia. Oleh itu ke dua-dua sumber ini mestilah difahami oleh setiap muslim dengan pemahaman yang benar.

Allah swt meredhai orang-orang yang mengikuti petunjukNya dan menjadikan mereka orang yang selamat melalui firmanNya dalam surah Al Ma'idah:


5:16

"Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus."


Tuesday, August 20, 2013

Wasiat Imam Syafie


SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.



Monday, July 29, 2013

Kerana Mu Wanita


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita"
 (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
  
 1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan   keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang     ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.


Kerana asyiknya cintamu wanita seorang lelaki terlupa akan RabbNya

Kerana panahan asmaramu wanita seorang lelaki terlupa akan halal dan haram sehingga menjerumus ke lembah kemaksiatan

Kerana utuhnya kuasamu wanita  seorang lelaki menderhana kepada ibu bapanya

Kerana indahnya cintamu wanita seorang lelaki terlupa akan anak dan isterinya

Kerana pujuk rayumu wanita seorang lelaki menyintai dunia melebihi akhiratnya

Kerana pesona cintamu wanita tunduk patuh seorang lelaki akan kehendakmu

Kerana kuatnya kasih sayang terhadapmu wanita seorang lelaki bergelar ayah, abang, sahabat dan  suami di azab di neraka……

Kerana seorang wanita jatuhnya sebuah pemerintahan….

Kerana cinta seorang wanita berlakunya pembunuhan pertama manusia

Kerana pujuk rayu wanita diperintahkan adam dan hawa keluar dari syurga ke dunia….

Kerana tidak dikau pelihara syariat Allah…musnahnya hidup seorang lelaki..
Semuanya kerana seorang wanita…

Ingatlah kaum wanita yang paling banyak menjadi penghuni neraka..

Peliharalah auratmu agar sama sekali tidak dilihat lelaki bukan mahrammu

Peliharalah dirimu agar tidak berdua-duaan dan bergaul bebas dengan lelaki

Peliharalah dirimu dari bersuara lunak sehingga timbul keinginan jahat lelaki terhadapmu

Peliharalah dirimu dari meminta-minta sesuatu pada seorang suami sehingga timbul murka Allah padamu dan padanya

Peliharalah dirimu dan demi lelaki..

Berhati-hatilah duhai wanita…jangan kerana dirimu orang yang amat dikau cinta mendapat murka RabbNya dan azab neraka jahannam….

Akan tetapi jadikanlah dirimu penyebab seorang lelaki ke syurga..jangan dikau menjadi fitnah kepadanya kelak

 7:27 
“Wahai bani Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaiman ia telah mengeluarkan kedua ibu bapakmu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al A’raaf: 27 )



Doa Elak Sihir Tafriq


Sihir tafriq adalah sihir yang digunakan untuk memisah pasangan suami isteri yang baru berkahwin dan ada juga kepada pasangan yang sudah lama berkahwin. Sebabnya kerana sakit hati atau hasad dengki kepada pasangan ini yang hidup aman dan bahagia.

Doa ini jika diamalkan selain dapat mengelak sihir tafriq,sebagai doa mengekalkan kebahagiaan rumahtangga sehingga akhir hayatnya kecualiberpisah kerana kematian.


Dari Jabir RadhiyaALLAHu berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata “saya telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis “kamu tidak melakukanapa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata “Saya tidak meninggalkannya (manusia) sehingga saya pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata“Ya, kamulah (yang betul hebat)” (Riwayat Muslim)

Amalkan ketiga-tiga ayat ini setiap kali selepas solat wajib.Mohon padaNya supaya dipelihara dan dilindung oleh niat jahat orang.

Ayat Doa 1 (Surah Yunus)

"Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan."

Ayat Doa 2 (Surah Najm)

"Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara “hari kiamat” itu."

Ayat Doa 3 ( Surah Al-Hadid)

"Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."



Redha Suami Syurga Isteri

Mengapa redha seorang suami itu adalah syurga bagi diri Isteri??.

  • Suami dibesarkan oleh ibu yang menyayanginya seumur hidup. Namun ketika dia meningkat dewasa, dia telah memilih mencintai isterinya yang bahkan belum tentu mencintainya untuk seumur hidup. Bahkan sering kali rasa cintanya terhadap isteri melebihi rasa cintanya kepada ibunya sendiri.
  • Suami dibesarkan sebagai lelaki yang ditanggung nafkahnya oleh ayah dan ibunya hingga dia meningkat dewasa. Namun sebelum dia mampu membalasnya, dia telah bertekad untuk menanggung nafkah isteri, seorang perempuan asing yang baru sahaja dikenalinya dan hanya terikat dengan akad nikah tanpa ikatan darah seperti ayah dan ibunya.
  • Suami rela menghabiskan waktunya untuk mencukupi keperluan anak-anak serta isteri. Padahal di sisi ALLAH SWT, isteri sebagai ibu lebih dihormati tiga kali lebih besar oleh anak-anak dibandingkan dirinya. Namun tidak pernah sekalipun dia merasa iri hati kerana dia mencintai isterinya dan berharap si isteri  mendapatkan yang lebih baik daripadanya di sisi ALLAH SWT.
  • Suami berusaha menutupi masalahnya dihadapan isteri dan berusaha menyelesaikannya sendiri. Sedangkan isteri seringkali mengadukan masalahnya kepada suami dengan harapan dia mampu memberikan penyelesaian. Padahal disaat si isteri sedang mengadu itu, suami sedang memiliki masalah yang lebih besar, namun tetap sahaja masalah si isteri di utamakan berbanding masalah yang dihadapi olehnya.
  • Suami berusaha memahami bahasa diam isteri, bahasa tangisan sedangkan isteri terkadang hanya mampu memahami bahasa lisannya saja. Itupun bila dia telah mengulanginya berkali-kali.
  • Bila isteri melakukan dosa, maka suami akan ikut terseret ke neraka kerana dia bertanggungjawab akan maksiat yang telah isteri lakukan. Namun bila suami berbuat dosa, isteri tidak akan pernah dituntut ke neraka. Kerana apa yang dilakukan olehnya adalah hal-hal yang harus dipertanggungjawabkannya sendiri.
Seorang lelaki bertanggungjawab ke atas 4 orang wanita dalam hidupnya iaitu ibunya, kakak/adik perempuannya, isterinya dan anak perempuannya. 
Dan seorang wanita mempunyai 4 orang insan yang akan bertanggungjawab ke atas dirinya iaitu ayahnya, abang/adik lelakinya, suami dan anak lelakinya.

Sunday, July 28, 2013

Dua Puluh Amalan Murah Rezeki


20 Amalan Murah Rezeki 

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." 

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah 
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.

(Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.

(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.

(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah 
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”


Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Wallahualam.


Sunday, June 30, 2013

Tip Cinta Suami Isteri


1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing dan ketika balik ke rumah.
2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.
3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.
4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.
5. Sentiasa mencari peluang untuk makan bersama dan pastikan tiada gangguan anak-anak sekali sekala.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.
7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari.
9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.
10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.
11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.
12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.
13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah, bunga atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.
15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.
16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.
17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.
18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.
19. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.